Funding Societies menandatangani kemudahan kredit berjumlah AS$50 juta (RM223 juta) bagi memacu pertumbuhan PKS di Asia Tenggara


HSBC_Release (1)

[dari kiri ke kanan] Regina Lee, Ketua Perbankan Komersial, HSBC Singapura, Kelvin Teo, Pengasas Bersama dan CEO Kumpulan, Funding Societies | Modalku, Chai Kien Poon, Pengurus Negara, Funding Societies Malaysia.

KUALA LUMPUR, 22 Ogos 2022 – Funding Societies, platform pembiayaan digital Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) terbesar di Asia Tenggara, hari ini mengumumkan penandatanganan kemudahan kredit* berjumlah AS$50 juta (RM223 juta) dengan HSBC Singapura bagi meluaskan lagi jangkauan firma itu dalam membantu PKS yang kurang mendapat perhatian di rantau ini.

Pembiayaan komersial di Asia Pasifik diunjurkan akan berkembang pada Kadar Pertumbuhan Tahunan Kompaun (CAGR) 16.5%, yang menjana pendapatan melebihi AS$7 trilion (RM31.27 trilion) menjelang 2028 - yang membentuk kira-kira 25% daripada jumlah pasaran global AS$27.4 trilion (RM122.4 trilion). Segmen PKS dijangka akan berkembang pada kadar yang lebih pesat. Di Asia Tenggara, masih terdapat banyak PKS yang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan dana dan dianggarkan bahawa wujud kelompangan dari segi pendanaan berjumlah AS$320 bilion (RM1.43 trilion) di rantau ini.

Pembiayaan digital diunjurkan muncul sebagai penyumbang terbesar untuk mengisi kelompangan tersebut dan menambah baik pengalaman mendapatkan pendanaan. Sebagai peneraju pembiayaan digital PKS di rantau ini, Funding Societies mempunyai rekod pengagihan pinjaman lebih daripada AS$2.6 bilion (RM11 bilion) menerusi lebih daripada 5.1 juta transaksi di seluruh rantau ini. Di Malaysia sahaja, platform ini telah mengagihkan pembiayaan berjumlah lebih daripada RM1 bilion kepada perniagaan. Menerusi kemudahan pembiayaan baharu ini, pemberi pinjaman fintech ini akan dapat menyalurkan dana tersebut melalui pelbagai penyelesaian pembiayaan yang disediakan khusus kepada semua segmen PKS di seluruh lima pasarannya.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Funding Societies | Modalku, Kelvin Teo berkata, “Kami berbesar hati kerana menerima kemudahan pembiayaan yang begitu besar daripada sebuah bank global seperti HSBC. Ini menandakan satu lagi pencapaian penting bagi kami dan adalah bukti kepada rekod kredit kami di sepanjang tempoh Covid-19. Pandangan jauh, keupayaan global dan pendekatan berskala HSBC telah melengkapkan lagi kami untuk memenuhi keperluan segmen PKS yang kurang mendapat perhatian di rantau ini. Kami menghargai keyakinan HSBC terhadap kami dan sangat gembira dengan kerjasama ini.”

Ketua Negara Funding Societies Malaysia, Chai Kien Poon berkata, “Pencapaian ini menunjukkan komitmen Funding Societies terhadap PKS yang mempunyai kepercayaan kredit tetapi pada masa sama kurang mendapat perhatian di rantau ini. Di Malaysia kami akan terus mencari peluang untuk bekerjasama dengan rakan kongsi yang merangkumi pelbagai sektor supaya kami dapat membantu PKS berkenaan mencapai potensi ekonomi mereka yang sepenuhnya dalam fasa pemulihan ini. Usaha bersinergi dengan institusi kewangan serta rakan industri adalah penting ke arah memajukan lagi sektor FinTech dan pembiayaan digital ini.”

PKS membentuk 97% daripada semua perusahaan di Asia Tenggara yang menjana 40% daripada nilai KDNK di seluruh rantau ini. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), 97.4% daripada syarikat yang berdaftar di Malaysia adalah terdiri daripada PMKS. Secara keseluruhannya, mereka menyumbang 37.4% daripada KDNK negara yang berjumlah RM572.6 bilion. Perjanjian ini akan membolehkan HSBC mengembangkan keupayaan globalnya dan pendekatan dengan menembusi ke dalam segmen yang kurang mendapat perhatian di seluruh rantau ini. Tambahan pula, perjanjian dengan HSBC ini akan menyaksikan bank global itu bertindak sebagai bank penstruktur, pemberi pinjaman, kemudahan dan ejen sekuriti dalam menyediakan penyelesaian pembiayaan yang fleksibel, berskala dan serantau bagi menyokong pengembangan perniagaan Funding Societies di rantau ini.

Ketua Perbankan Komersial HSBC Singapura, Regina Lee berkata, “Sebagai sebuah platform pembiayaan digital PKS terkemuka, Funding Societies memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi baharu di Asia Tenggara dengan memacu keterangkuman kewangan yang lebih meluas dan menyokong syarikat tempatan yang menjadi tunjang kepada ekonomi ini. Kami gembira kerana dapat menyokong Funding Societies dalam usaha untuk meluaskan lagi jangkauan mereka bagi memberikan perkhidmatan kepada PKS yang kurang mendapat perhatian di rantau ini.”

Pengumuman ini dibuat selepas pemerolehan platform pembayaran digital serantau CardUp oleh Funding Societies baru-baru ini yang tertakluk kepada kelulusan kawal selia, sebagai sebahagian daripada siri usaha untuk mempelbagaikan perkhidmatannya selain daripada memberi pembiayaan. Platform pembiayaan digital itu turut mencatatkan beberapa pencapaian strategik termasuk pengumpulan ekuiti Siri C+ olehnya yang berjumlah AS$144 juta (RM643 juta) pada Februari, pelaburan terbarunya ke dalam Bank Index di Indonesia, dan kemasukannya ke dalam pasaran Vietnam, iaitu pasarannya yang kelima.

*Pinjaman komersial diterima oleh FS Capital Pte Ltd