Funding Societies tawar lebih penyelesaian pembiayaan PMKS menerusi kemudahan FinTech Islam (iFinTech)
KUALA LUMPUR, 25 MEI 2022 - Funding Societies, platform pembiayaan digital PKS terbesar di Malaysia dan Asia Tenggara, memperkenalkan penyelesaian pembiayaan perdagangan (trade financing) patuh Syariah berdasarkan Murabahah Komoditi (Tawarruq) untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Malaysia yang layak kredit dan memerlukan. Penyelesaian ini seterusnya membantu mereka untuk mengembangkan perniagaan atau meningkatkan modal kerja dalam negara kian membuka semula kebanyakkan sektor ekonomi dan melalui fasa peralihan endemik.
Wong Kah Meng, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Funding Societies Malaysia, berkata, “Walaupun mempunyai prestasi perniagaan yang memberangsangkan, PMKS sering menghadapi kekangan akses kepada pembiayaan dan sering terabai oleh insitusi perkhidmatan atas pelbagai sebab (faktor utama termasuk kekurangan atau ketiadaan rekod prestasi kredit, ketiadaan aset cagaran, dan tidak mempunyai dokumentasi kewangan yang cukup untuk penilaian kredit). Ini ditambah lagi dengan impak COVID-19. Disebabkan norma penjarakan sosial dan batasan dalam bertemu pelanggan secara bersemuka, ini menyebabkan lebih sukar bagi institusi kewangan tradisional untuk memberikan pinjaman kepada PMKS, tambahan pula dengan syarat-syarat yang diperketatkan bagi beberapa industri tertentu disebabkan oleh faktor risiko yang kian meningkat.”
“Semasa pandemik juga, kami melihat lebih banyak perniagaan yang beralih kepada platform digital dan ruang pasaran bagi mendapatkan dana untuk memulakan, meneruskan atau mengembangkan perniagaan mereka. Ini dirumuskan dari faktor peningkatan dalam trafik carian dan juga bilangan PMKS yang telah berdaftar dengan kami melalui saluran digital merentasi kedua-dua ekonomi dalam mahupun luar talian,” tambah Wong.
Dalam temubual bersama BERNAMA pada April, Pengarah Eksekutif Pembangunan Pasaran Modal Islam Suruhanjaya Sekuriti, Sharifatul Hanizah Said Ali menyatakan bahawa Suruhanjaya Sekuriti menjangkakan penggunaan digital dan teknologi akan meningkat secara meluas serta mempercepatkan kapasiti pemegang taruh untuk meningkatkan ekosistem kewangan Islam. Penyelesaian digital ini akan memudahkan ketersambungan dengan membenarkan PKS, pelabur dan pengantara mengakses pasaran sedia ada dan baharu dengan lebih cekap dan kos efektif.
PMKS kini kian menyedari kepentingan FinTech dan Islamic FinTech (iFintech) untuk mendapatkan akses kepada modal bagi memastikan kelestarian operasi dan pengembangan aktiviti perniagaan mereka. Pengenalan pembiayaan patuh Syariah melengkapkan rangkaian luas produk pembiayaan Funding Societies sedia ada untuk memberi perkhidmatan kepada PKS yang berkelayakan kredit dari semua segmen, vintaj dan saiz, termasuk yang beroperasi dalam industri Halal.
Tambahan pula, iFintech masih berkembang pesat tatkala kebimbangan kelembapan ekonomi global berikutan pasaran umum yang lembap dan sentimen berhati-hati pengguna di Amerika Syarikat serta ekonomi-ekonomi lain di Asia Tenggara seperti Malaysia dan Singapura. Pada 2021, pasaran iFinTech Malaysia dianggarkan bernilai USD3.0 bilion (RM13.18 bilion). Malaysia turut dikategorikan sebagai ‘peneraju pasaran’ pada Matriks Kematangan Hab iFinTech dengan kadar pertumbuhan dan kadar kondusif yang tinggi. Selain itu, Malaysia turut menduduki tempat pertama dalam Indeks Teknologi Kewangan Islam Global (GIFT).
“Pertumbuhan ini khususnya memberi peluang menggalakkan untuk kedua-dua PKS dan pelabur. Peningkatan beransur dalam aktiviti ekonomi dan sempadan yang dibuka semula, ditambah dengan jangkaan peningkatan keyakinan pengguna akan menyumbang kepada pandangan lebih optimistik secara keseluruhan. Bagaimanapun, kita masih perlu mengekalkan pendekatan berhati-hati kerana pelbagai pasaran telah menaikkan kadar faedah dalam usaha untuk mengekang tekanan inflasi, dengan risiko kelembapan ekonomi,” rumus Wong.
Dalam memastikan pematuhan terhadap prinsip Syariah, Funding Societies bekerjasama dengan Masryef Advisory, sebuah syarikat penasihat Syariah berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti sebagai penasihat Syariahnya.
“Funding Societies mengambil langkah penting dalam menawarkan produk patuh Syariah bermanfaat kepada pelabur Islam mahupun bukan Islam untuk melabur di platformnya. Di samping itu, rata-rata PMKS yang masih terabai atau kurang diberi layanan kini boleh mendapat akses kepada pembiayaan Islam melalui platform tersebut. Kami berbangga kerana turut serta bersama Funding Societies dalam perjalanannya untuk menawarkan pembiayaan Islam. Sijil patuh Syariah daripada Masryef yang diperoleh Funding Societies membolehkan mereka untuk menawarkan penyelesaian pembiayaan Islam kepada pelanggan,” kata Khairil Anuar Mohd Noor, Prinsipal di Masryef Advisory.
Penyelesaian pembiayaan perdagangan patuh Syariah Funding Societies membolehkan PKS Malaysia yang telah beroperasi sekurang-kurangnya setahun untuk memohon pembiayaan tanpa cagara dengan jumlah pembiayaan sehingga RM1 juta. Untuk maklumat lanjut berkenaan pembiayaan perdagangan patuh Syariah ini, sila layari
https://fundingsocieties.com.my/islamic-financing.