Funding Societies: Bajet 2023 Galakan Strategik dan Mampan untuk PKS


b344d28b831070739f13e19acbeef313ebce3d72696c4abc3032b44832a12386

KUALA LUMPUR, 7 OKTOBER 2022 - Funding Societies mengalu-alukan Bajet 2023 yang diumumkan oleh YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul bin Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan Malaysia, di Dewan Rakyat petang tadi.

Mewakili platform pembiayaan digital PKS terbesar di negara ini dan di rantau Asia Tenggara, Chai Kien Poon, Ketua Negara Funding Societies Malaysia, berkata, “Kami menyambut baik Bajet 2023 yang dirangka dengan dasar responsif, bertanggungjawab dan reformis. Ini adalah ketika negara dan global menjangkakan ketidakstabilan yang bakal menggugat sektor ekonomi pada tahun hadapan. Pelbagai geran, insentif dan bantuan bukan sahaja akan menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk teguh bertahan malahan terus berdaya saing akan cabaran akan datang. Sebagai pemain FinTech utama negara, kami berharap untuk terus menyokong agenda nasional dengan memberi perkhidmatan kepada lebih banyak PKS berkelayakan kredit namun kurang mendapat perhatian.”

“Pembiayaan tambahan RM30 juta yang diperuntukkan kepada Malaysia Co-Investment Fund (MyCIF) untuk pendanaan ramai berasaskan ekuiti (ECF) mencerminkan keyakinan kerajaan yang tidak berbelah bahagi dalam pembiayaan digital sebagai penggerak utama bagi segmen perusahaan sosial yang sedang berkembang sekaligus memacu agenda kestabilan negara. Funding Societies bertuah kerana dapat bekerjasama dengan Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk mengumpul dana bagi perusahaan sosial yang layak di bawah program MyCIF P2P,” sambung Chai.

Salah satu insentif paling memberangsang yang diumumkan dalam Bajet 2023 ialah pemberian RM1,000 secara ‘one-off’ (dengan nilai keseluruhan RM1 bilion) yang akan dimanfaatkan kira-kira 1 juta perniagaan PKS berdaftar. Antara langkah tambahan lain juga termasuklah pelbagai geran dan peruntukan seperti Skim RESET dan Skim Modal Kerja melalui Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BMPB), peruntukan RM200 juta kepada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) untuk mengendalikan program dan pembiayaan pembangunan keusahawanan, serta suntikan RM9 bilion ke dalam Skim Jaminan Kredit untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP). Selain itu, terdapat pengecualian duti setem 100% untuk perjanjian penstrukturan semula pembiayaan atau penjadualan semula sehingga 2024 dan pengurangan cukai pendapatan daripada 17% kepada 15% untuk PKS yang akan membantu mereka mengekalkan atau menambah baik aliran tunai mereka, yang juga nadi kepada semua perniagaan.

“Penyertaan usahawan generasi baharu juga adalah penting untuk pertumbuhan ekonomi. Dengan RM305 juta diperuntukkan untuk menggalakkan lebih banyak penyertaan belia dalam perniagaan, Funding Societies mengalu-alukan pertumbuhan positif ini. Begitu juga, berdasarkan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) untuk memperkasakan wanita, RM235 juta yang diperuntukkan untuk pembangunan usahawan wanita akan terus merangsang pertumbuhan PKS yang seimbang di Malaysia,” tambah Chai.

“Secara keseluruhannya, Bajet ini merangkumi pelbagai bidang dan sektor kritikal. Pertama, ia memberikan sokongan yang baik kepada PKS sambil kita beralih ke fasa endemisiti. Kedua, ia menggalakkan penyertaan belia Malaysia dalam bidang keusahawanan. Akhir sekali, bajet ini mempersiap siagakan masa depan PKS sekaligus membolehkan akses modal yang lebih luas,” rumus Chai.