Funding Societies Umum Pelaburan Bersama dalam Bank Index

Pelaburan bersama adalah langkah seterusnya bagi Funding Societies untuk bersaing dalam industri neobank


7221b952084e25b589c045efd75c6b2e8317c25287ac3838abbc0546f6b52a42

(Kiri) Gimin Sumalim, Pengarah Presiden Bank Index; (Kanan) Kelvin Teo, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Funding Societies | Modalku

KUALA LUMPUR, 26 APRIL 2022 – Funding Societies (juga dikenali sebagai Modalku di Indonesia), platform pembiayaan digital PKS terbesar dan terkemuka di Malaysia dan Asia Tenggara, mengumumkan pelaburannya ke dalam saham Bank Index atau PT. Bank Index Selindo, bank komersial swasta Indonesia, bersama-sama dengan CARRO, sebuah platform pasaran automotif Asia Tenggara. Langkah ini merupakan satu peristiwa penting bagi Funding Societies di dalam perjalanannya memasuki sektor neobank atau perbankan digital dan usahanya untuk menawarkan perkhidmatan kewangan digital yang lebih berimpak tinggi kepada perniagaan terpinggir di rantau ini.

Dengan tumpuan terhadap Perbankan PKS, Bank Index adalah sebuah Bank kebangsaan milik swasta yang beroperasi di seluruh Indonesia dengan 53 rangkaian pejabat di wilayah komersial utama seperti di Jabodetabek, Jawa, Sumatera, Bali dan Batam. Bank Indeks turut menjalankan perniagaan merentasi pelbagai rantaian bekalan komersial di samping menawarkan perkhidmatan perbankan mudah alih dan Internet kepada pelanggannya.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Funding Societies | Modalku, Kelvin Teo berkata, “Pelaburan dan kerjasama kami dengan Bank Index akan menyokong strategi perniagaan Funding Societies ke dalam sektor perbankan digital. Bank Index berkongsi wawasan yang sama dengan kami iaitu untuk memperkasakan dan membangunkan PKS. Sejak 2015, Funding Societies telah giat menjalinkan kerjasama dengan bank-bank di seluruh rantau ini, dan kerjasama kami dengan Bank Indeks akan membawa kolaborasi FinTech-bank ke satu tahap yang lebih tinggi. Keupayaan kami akan membolehkan kami memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada SME merangkumi perkhidmatan perbankan, pembayaran, pinjaman dan digital bagi meningkatkan ekonomi Asia Tenggara menerusi perniagaan kecil.”

Pelaburan Funding Societies ke dalam Bank Index adalah salah satu daripada langkah utamanya untuk memajukan lagi industri FinTech atau teknologi kewangan. Kajian Tahunan Ahli Persatuan FinTech Indonesia (AFTECH) pada 2021 mendedahkan bahawa kluster bank digital mempunyai potensi untuk berkembang pesat pada masa depan, terutamanya bagi populasi yang tidak mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan tradisional, dengan anggaran pertumbuhan sebanyak 51% di Indonesia. Dapatan itu turut disokong oleh Kajian Perbankan Pengguna Global NextWave 2021 Ernst & Young, yang menekankan bahawa kadar penggunaan aktiviti perbankan digital tertinggi di kalangan pengguna di dua pasaran serantau, yang mana salah satunya ialah pasaran Asia Pasifik.

Pengarah Presiden Bank Index, Gimin Sumalim menambah, “Kami dengan sukacitanya mengalu-alukan Funding Societies dan CARRO sebagai pemegang saham Bank Index. Bersama-sama, kita akan berganding bahu bagi menempa inisiatif strategik berasaskan wawasan dan misi yang dikongsi bersama, terutamanya untuk mengembangkan lagi perkhidmatan kami ke dalam pasaran sasaran kami. Langkah kolektif ini turut menjadi titik rujukan untuk terus mengejar transformasi digital yang menyeluruh.”

Funding Societies menyediakan perkhidmatan pembiayaan digital, di mana PMKS boleh memohon untuk mendapatkan pembiayaan perniagaan yang didanai oleh pelabur institusi dan runcit menerusi pasaran digital. Selain daripada Malaysia dan Indonesia, Funding Societies turut beroperasi di Singapura, Thailand dan Vietnam. Setakat hari ini, platform itu secara kolektifnya telah mengagihkan lebih daripada RM9.5 bilion dalam bentuk pembiayaan menerusi lebih daripada 5 juta perjanjian pembiayaan di seluruh rantau ini.