Funding Societies dan STACS ESGpedia Perkasakan Pertumbuhan Mampan PKS
Dari kiri: Margie Ong, CEO, Thoughts In Gear; Annette Aprilana, Sustainability & ESG Lead, Funding Societies; Chai Kien Poon, Ketua Negara Funding Societies Malaysia; Rizal Dato’ Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif, SME Corp Malaysia; Navina Balasingam, Pengurus Besar, Capital Markets Malaysia; Benjamin Soh, Pengarah Urusan, STACS ESGpedia.
KUALA LUMPUR, 15 Ogos 2024 – Funding Societies, platform pembiayaan digital perusahaan kecil dan sederhana ("PKS") bersepadu terbesar di Asia Tenggara bekerjasama dengan STACS ESGpedia, syarikat terkemuka dalam bidang data dan teknologi ESG di Asia, telah menganjurkan satu Perhimpunan ESG bertajuk “Mendorong Pertumbuhan Mampan: Memperkasakan PKS dalam Rantaian Bekalan Melalui Pelaporan ESG.” Acara ini bertujuan untuk membekalkan PKS dengan alatan dan panduan yang diperlukan untuk mengemudi landskap pelaporan ESG yang kompleks, sekaligus memajukan amalan kemampanan mereka dan meningkatkan daya tahan perniagaan.
Encik Rizal Dato’ Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, menyampaikan ucaptama yang memfokuskan peranan kritikal ESG bagi PKS dan menyoroti sokongan berterusan kerajaan terhadap inisiatif kemampanan. Beliau menyatakan bahawa integrasi prinsip ESG ke dalam operasi perniagaan kini adalah penting bagi PKS untuk kekal berdaya saing dan berdaya tahan. Selain Funding Societies dan STACS ESGpedia, acara ini juga menampilkan penceramah dari Capital Markets Malaysia (“CMM”) dan Thoughts in Gear (“TIG”), yang menekankan kepentingan tindakan kolektif dalam memacu pertumbuhan mampan. Penceramah dari CMM dan TIG turut menyumbang pandangan berharga mengenai cara PKS boleh mengamalkan dan mendapat manfaat daripada amalan ESG.
Kepentingan pelaporan ESG lebih ditekankan melalui perbincangan tentang bagaimana ia dapat memacu inovasi, meningkatkan reputasi jenama, dan menarik peluang pelaburan. Dalam pasaran yang semakin kompetitif, PKS yang mengintegrasikan amalan ESG berpotensi untuk mendapat manfaat melalui daya tahan perniagaan yang lebih kukuh dan akses modal yang lebih baik. Perhimpunan ini menyoroti bahawa permintaan yang semakin meningkat untuk pendedahan ESG yang telus dari institusi kewangan, pengguna, dan badan pengawal selia bukan sekadar trend tetapi peralihan asas dalam cara perniagaan beroperasi di masa hadapan.
Chai Kien Poon, Ketua Negara, Funding Societies Malaysia, berkata, “97% perniagaan di Malaysia adalah PKS. Salah tanggapan umum masih wujud bahawa ESG hanya relevan untuk syarikat besar dan syarikat multinasional (“MNCs”). Walau bagaimanapun, PKS dalam rantaian bekalan korporat juga perlu menangani peraturan yang lebih kompleks, memenuhi standard kualiti yang lebih tinggi, dan menyesuaikan diri dengan permintaan khusus rakan kongsi korporat. PKS sering mengabaikan kesan ESG terhadap perniagaan mereka. Jelas bahawa PKS mesti memilih strategi baru dan inovatif yang membolehkan perniagaan mereka kekal tangkas dan kolaboratif, terutamanya di tengah-tengah peningkatan keperluan pengawalseliaan dan pelabur bagi syarikat tersenarai dan MNCs untuk bertindak terhadap perubahan iklim dan isu alam sekitar lain."
“Funding Societies komited untuk menyediakan akses pembiayaan kepada PKS Malaysia dan menyokong perjalanan mereka ke arah mengamalkan amalan perniagaan mampan. Kami teruja untuk memperluaskan kerjasama kami dengan STACS ESGpedia di Malaysia bagi memajukan misi kami. Kami berharap acara ini akan membantu memperkasakan PKS Malaysia untuk menjadi lebih peka terhadap aktiviti mereka dan membekalkan PKS dengan sumber yang diperlukan untuk memulakan perjalanan ESG mereka."
Benjamin Soh, Pengasas dan Pengarah Urusan di STACS ESGpedia, berkata: “Sebagai platform pelaporan ESG dalam Program Adopter Panduan Penzahiran ESG Ringkas (“SEDG”) kelolaan CMM, kami gembira untuk memperkukuhkan lagi kerjasama kami dengan Funding Societies untuk memudahkan pelaporan ESG di kalangan PKS Malaysia.
Ini akan membantu PKS di negara ini meletakkan diri mereka dengan lebih baik dan menguruskan keperluan pengawalseliaan ESG yang semakin meningkat hari ini. Dengan PKS menyumbang sebahagian besar kepada rantaian bekalan Asia, pemerkasaan digital akan menjadi faktor utama yang mempengaruhi daya saing rantaian bekalan di rantau ini, terutamanya bagi pasaran intensif karbon.”
Perhimpunan ESG ini merupakan langkah penting untuk menutup jurang data ESG di kalangan PKS di Malaysia, menekankan kepentingan amalan mampan dan menyediakan alatan yang diperlukan untuk membantu PKS berkembang maju dalam dunia yang semakin fokus kepada ESG.